[SUKAN] Atlet Malaysia azam lakar kegemilangan

                                                                                   
NAYPYITAW - Penampilan 33 acara sukan dan satu acara demonstrasi, Sukan SEA Myamnar bertemakan "Hijau, Bersih dan Persahabatan" akan bermula secara rasmi di Stadium Wunna Theikdi di sini esok.  

Kontinjen Malaysia, yang membariskan 556 atlet, akan berusaha sepenuh hati untuk merebut 460 pingat emas yang ditawarkan dengan mengambil bahagian dalam 29 acara, tanpa menyertai acara vovinam, perlumbaan perahu tradisional, gusti dan kempo, dengan sasaran meraih sekurang-kurangnya 40 pingat emas.

Mereka akan menyertai acara renang, olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, snuker dan biliard, tinju, berkanu, berbasikal, ekuestrian, bola sepak (termasuk futsal), golf, hoki, judo, karate, perahu dayung, sepak takraw (chinlone), perahu layar, menembak, ping pong, taekwondo, bola tampar, bina badan, catur, muay Thai, pencak silat, angkat berat dan petanque.

Pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, Malaysia menang 59 pingat emas, 50 perak dan 82 gangsa untuk menduduki tempat keempat keseluruhan bagi mencatat pencapaian terbaik negara dalam temasya sukan ini setelah meraih 111 pingat emas ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggesa atlet negara ke Sukan SEA ke-27 ini supaya tidak mengenal putus asa dan mengatasi semua cabaran yang dihadapi kerana keluarga mereka dan 28 juta rakyat Malaysia amat mengharapkan mereka mencapai kejayaan cemerlang.

"Biar negara lain melihat kontinjen kita dengan pakaian 'Harimau Belang' ini sebagai pencabar serius. Setelah meninggalkan padang, kolam renang atau gelanggang tenis, mereka akan sedar bahawa mereka telah berdepan dengan juara Sukan SEA," katanya.

Bagi atlet Malaysia, Sukan SEA Myanmar juga merupakan gelanggang terbaik untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi dua kejohanan besar tahun depan - Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland. 

Bagaimanapun, skuad bola sepak bawah 23 tahun mempunyai misi tersendiri di sini kerana selain mengekalkan 'ibu segala pingat emas' pada sukan ini, anak didik Datuk Ong Kim Swee memikul tanggungjawab besar untuk mencatat hatrik dengan meraih pingat emas.

Di Sukan SEA Myanmar, skuad Harimau Muda A menjadi pilihan utama setelah meraih gelaran juara di Laos (2009) dan Jakarta (2011).   

Skuad Harimau Muda A mendapat rahmat awal apabila diundi menentang Brunei, Laos, Singapura dan Vietnam dalam Kumpulan A. Kumpulan B menghimpunkan Myanmar, Thailand, Indonesia, Timor Leste dan Kemboja.

Walaupun temasya sukan ini bermula secara rasmi esok, namun beberapa acara seperti polo air, badminton, tinju, bola sepak, pencak silat, bola keranjang, futsal dan berkanu telah bermula lebih awal. Malah, acara wushu dan chinlone telah selesai dipertandingkan.

Semalam, atlet wushu Phoon Eyin melakar kejayaan amat bermakna dan bersejarah apabila memenangi pingat emas ke-1,000 melalui Sukan SEA untuk Malaysia sejak negara ini menyertai sukan berkenaan pada 1959.

Setakat ini, hanya dua negara memenangi lebih 1,000 pingat emas Sukan SEA  - Thailand (1,887) dan Indonesia (1,602).   
Sebahagian besar acara Sukan SEA kali ini akan berlangsung di ibu negara baharu Myanmar, Naypyitaw, manakala Yangon, Mandalay dan Ngwesaung akan menjadi hos bagi acara selebihnya, termasuk sukan air dan perahu layar mulai esok hingga 22 Dis.

Selepas 44 tahun pudar daripada kilauan kegemilangan, kini Myanmar muncul untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA bagi kali ketiga. Ia menjadi hos pada 1961 dan 1969 ketika temasya sukan ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (Sukan SEAP).

Sukan SEA Myanmar menawarkan 460 pingat emas, 460 perak dan 637 gangsa melalui 33 acara - kurang daripada jumlah pingat yang dipertandingkan pada edisi sebelum ini di Indonesia. Olahraga menawarkan jumlah pingat emas terbanyak iaitu 46.

Penganjur Sukan SEA ke-27 ini berikrar akan mengetatkan kawalan keselamatan sepanjang temasya sukan dwitahunan itu diadakan berikutan beberapa kejadian letupan bom yang brlaku di negara ini pada pertengahan Oktober.

Kerajaan Myanmar juga bertekad menjadikan Sukan SEA, temasya sukan paling penting di rantau ini, berjaya dari segenap aspek, walaupun sebenarnya, para atlet dan pegawai dari 11 negara anggota Asean menghadapi pelbagai kesulitan sebelum ia bermula secara rasmi esok. - Bernama

Copyfrom : Sinar Harian

Tenaga Sokongan

X-Steel - Wait