[SUKAN] Malaysia 6 - 0 Singapura

                               
 

MAS 6-0 SIN (FIELD HOCKEY)

   SKUAD hoki lelaki negara menepati ramalan apabila berjaya mara ke final temasya Sukan SEA ke-27 selepas membenamkan Singapura 6-0 pada perlawanan pusingan awal di Stadium  Hoki Theinphyu, Yangon hari ini. 

Walaupun masih berbaki satu lagi perlawanan menentang pasukan tuan rumah esok, pasukan negara sudah mengesahkan status sebagai juara peringkat sepusingan apabila mengekalkan rekod tanpa kalah.

Pada perlawanan ketiga, skuad negara menerima tentangan sengit daripada Singapura sebelum Dangerous Lee membuka jaringan pertama menerusi gol padang pada minit ke-19.

Kemudian, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Lee menambah dua gol padang, masing-masing pada minit ke-24 dan ke-26 sebelum berakhir separuh masa pertama.

Babak kedua perlawanan pula menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertahan dan bertenaga sebelum Dedy Junaidi Jumaiti mengesahkan gol keempat buat negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52.
Amir Farid Ahmad Fauzi memberi kedudukan selesa dengan gol kelima menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-63 kemudian Muhammad Ramdan Rosli menyempurnakan gol padang untuk mengesahkan kemenangan negara pada minit ke-70.

Lebih manis lagi, kemenangan ketiga berturut-turut ini juga merupakan hadiah buat penjaga gol negara Roslan Jamaluddin, 35, dan  Norhizzat Sumantri, 22, yang menyambut ulang tahun kelahiran mereka hari ini.  
Jurulatih Tai Beng Hai berkata beliau berbangga dengan skuad negara yang terus mengekalkan prestasi yang konsisten sepanjang perlawanan.

"Memang kita datang sini untuk meraih pingat emas, tetapi skuad perlu ingat kita masih berbaki satu perlawanan sebelum ke final, mereka perlu konsisten," katanya 
Beng Hai berkata skuad negara perlu menjaga standard dan kualiti prestasi hoki negara walaupun bermain dengan pasukan yang lemah.

Skuad negara mencatat kemenangan besar menewaskan Vietnam 13-0 pada perlawanan pertama kemudian mengulangi kejayaan yang sama dengan mengatasi Thailand.
Dalam pada itu, Thailand dan Singapura akan berentap esok untuk memburu tempat ke final.

Sebanyak lima negara menyertai acara hoki lelaki iaitu  Malaysia, Thailand, Singapura, Myanmar dan Vietnam.
Selepas format sepusingan, dua pasukan teratas akan berentap untuk pingat emas manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bertemu untuk penentuan pingat gangsa. - Bernama

http://www.facebook.com/updateskopipasta

Tenaga Sokongan

X-Steel - Wait